Tuesday, August 31, 2010

~Hubungan Ramadhan dan Syawal~

Ramadhan dan Syawal boleh diumpamakan sebagai dua orang tamu yang berkunjung ke rumah kita. Seorang tetamu berada sedikit terkehadapan berbanding seorang yang lain. Namun, ironinya manusia lupa tentang adab menyambut tetamu. Yang lebih rapat serta akrab dengan kita lebih didahulukan sedangkan dia berada di belakang seorang lagi. Agama kita iaitu Islam mengajar kita agar lebih memuliakan yang lebih mulia( dalam konteks ini tetamu yang berada di hadapan harus disambut dahulu ).

Begitu juga dengan keutamaan Ramadhan berbanding Syawal sedangkan Islam mengasuh umat agar merayakan bulan Ramadhan, penghulu bagi segala bulan. Walaubagaimanapun, percanggahan berlaku apabila kita lebih cenderung untuk merayakan Syawal apatah lagi Ramadhan baru bermula. Sebagai contoh, lagu Selamat Hari Raya, Pulanglah di Hari Raya ( sekadar menyentuh beberapa buah lagu) telah pun dimainkan di corong-corong radio mahupun di pasar raya pada awal Ramadhan. Selain itu, iklan hari raya lebih ‘dihighlightkan’ berbanding bulan Ramadhan.

Belum cukup dengan itu, usai Ramadhan semakin berlabuh maka berlabuh jugalah umat Islam daripada menghangatkan masjid-masjid untuk beribadat kepada Allah. SUNGGUH MENGAIBKAN! Kita sepatutnya semakin menjauh Ramadhan semakin kuatlah amalan kita. Ini sudah terbalik, tunggang-langgang jadinya. Bukankah kita sudah dimaklumkan bahawa peringkat pertama Ramadhan ialah ‘rahmat’, peringkat kedua ialah ‘maghfirah’ ataupun keampunan, manakala sepuluh hari terakhir ialah kemerdekaan daripada api neraka. Senang cerita, ramai masyarakat seolah-olah memilih untuk ‘tidak merdeka daripad api neraka’. Hal inilah yang terjadi.

Baihaqi meriwayatkan dari hadith Ibnu Mas’ud pada bahagian akhirnya disebutkan : “ Dan pada setiap berbuka pada bulan Ramadhan , maka pada setiap malamnya Allah akan membebaskan 60,000 orang dari api neraka; dan apabila hari Raya Idul Fitri, maka Allah akan membebaskan sejumlah orang selama sebulan Ramadhan itu, iaitu 60,000 x 30 .”

Sebagai konklusi, Ramadhan diciptakan bagi memberi peluang kepada umat untuk berlumba-lumba mendapatkan redha Allah. Manakala Syawal diraikan atas kemenangan umat dalam melaksanakan Rukun Islam Ketiga tersebut. Akan tetapi, raya bagi segala raya ialah kemenangan di Hari Akhirat.

Wallahualam bissowab…..

( p/s : tazkirah secara bersama )

No comments:

Post a Comment